Thursday, February 10, 2011

-Si Ai En Ti Ea-

SOAL JAWAB MENGENAI COUPLE….


SOAL JAWAB MENGENAI COUPLE….KAMI HANYA BERBUAL-BUAL, BERBINCANG, BERTANYA KHABAR,MINUM-MINUM DI KAFE. ADAKAH ITU MENGHAMPIRI ZINA?

Ya,perbuatan itu boleh menjerumuskan pelakunya ke lembah penzinaan.

KAMI DAPAT MENGAWAL PERASAAN DAN KAMI TIDAK BERNIAT KE ARAH ITU.

Hari ini ya.Esok mungkin kamu kecundang.Iblis akan memerangkap kamu.Iblis amat berpengalaman dan tipu dayanya sangat halus. Ia telah menipu moyang kita yang pertama,Adam dan Hawa. Iblis amat licik. Ingat,pesanan Rasulullah :Janganlah engkau bersendirian denga seorang wanita kecuali yang ketiganya,syaitan (Tabrani) .Kita lemah menghadapi tipu daya Iblis.

TIDAK SEMESTINYA SEMUA ORANG BERCINTA MENJURUS KEPADA PENZINAAN.ADA YANG BERCINTA DALAM TELEFON DAN HANTAR SMS SAHAJA. TIDAK PERNAH BERSUA MUKA PUN!

Betul .Tetapi itu adalah salah satu yang dimaksudkan dengan menghampiri zina. Memang pada awalnya tidak bersua muka. Tapi perasaan pasti bergelora,lambat laun desakan nafsu dan perasaan serta hasutan Iblis akan mengheret kepada suatu pertemuan. Pertemuan pertama tidak akan terhenti disitu sahaja.Percayalah, ia akan berlanjutan. Tidakkah itu boleh membawa kepada perzinaan akhirnya?

TAKKAN NAK BERBUAL-BUAL PUN TAK BOLEH? ITUPUN ZINA KE?

Zina ada bermacam-macam jenis dan peringkatnya, ada zina betul, ada zina tangan iaitu berpegang-pegangan, ada zina mata iaitu melihat kekasih dengan perasaan berahi. Zina hati iaitu dengan khayalan berahi dengan kekasih sepertimana yang digambarkan oleh Rasulullah : Kedua-dua tangan juga berzina dan zinanya adalah menyentuh. Kedua kaki juga berzina dan zinanya menuju ke tempat pertemuan. Mulut juga berzina dan zinanya adalah ciuman (muslim dan Abu Daud). Sebenarnya jalan menuju kepada perzinaan amat banyak. Jangan biarkan diri kita melalui mana-mana jalan perzinaan.

DUDUK BERDISKUSI PELAJARAN TAK BOLEH KE? BINCANG PELAJARAN SAHAJA! *(bagi kes belajar berdua-duaan SAHAJA)*

Berdiskusi pelajaran, betul ke? Jangan tipu. Allah tahu apa yang terselit di dalam hati hamba- hambaNya. Kita belajar nak keberkatan. Kalau cemerlang sekalipun, kalau tidak diberkati oleh Allah, kejayaan tidak akan membawa kebahagiaan. Hidup di dunia tidak bahagia,akhirat lagi lah. Jangan berselindung disebalik pelajaran yang mulia. Allah suka kepada orang berilmu. Jadi belajar hendaklah ikut batas dan ketentuan Allah. Belajar akan jadi ibadat. Adakah berdiskusi macam ni akan ditulis oleh malaikat Raqib dan Atid.

SUNGGUH! BINCANG PELAJARAN SAHAJA. NI STUDY GROUP. *

(bagi kes berdua-duaan SAHAJA)

Study Group...? nampak lain macam saja, manja, senyum memanjang, tak macam gaya berdiskusi. Takkan study group berdua sahaja? Kemana- manapun berdua. Kalau ye pun, carilah group study ramai sikit. Kalau duduk berdua-duaan macam ni...betul ke bincang pelajaran? Jangan-jangan sekejap saja bincang pelajaran, yang lain tu...banyak masa dihabiskan dengan fantasi cinta!


TAKKANLAH TAK ADA LANGSUNG RUANG YANG DIBENARKAN DALAM ISLAM UNTUK BERCINTA? ADAKAH ISLAM MEMBUNUH TERUS NALURI CINTA?

Naluri adalah sebahagian daripada kesempurnaan kejadian manusia. Naluri ingin memiliki dan suka kalau dimiliki (sense of belonging) adalah fitrah. Kalau naluri itu tidak wujud pada diri seseorang, tak normal namanya. Islam bukan datang membunuh naluri dan keinginan itu, tidak! Islam tidak suruh membunuh naluri seperti yang dilakukan oleh para paderi atau sami. Jangan nafikan naluri ini. Jangan berbohong pada diri sendiri. Bukan salah dan berdosa kalau perasaan itu datang tanpa diundang. Itu adalah fitrah. Cuma tundukkan naluri itu untuk patuh pada perintah Allah. Jadilah manusia yang sihat nalurinya. Jangan jadi malaikat! Kerana Allah jadikan kita sebagai manusia. Dunia dan segala isinya akan hambar tanpa naluri atau nafsu.

TENTU ADA CINTA SECARA ISLAM.

Cinta secara Islam hanya satu, iaitu perkahwinan. Cinta berlaku setelah ijab kabul, cinta selepas kahwin. Itulah cinta sacral dan qudus. Cinta yang bermaruah. Bukan cinta murahan. Inilah kemuliaan Islam. Apabila Islam menegah sesuatu perkara, tentu ia gantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Jika ia menegah cinta antara lelaki dan perempuan sebelum kahwin, ia membawa perkahwinan sebagai ganti yang lebih baik. Sabda Rasulullah : Tidak ada yang lebih patut bagi dua orang yang saling mencintai kecuali nikah. (Ibnu Majah). Cinta adalah maruah manusia. Ia telalu mulia.

KALAU BEGITU, CINTA REMAJA SEMUA MENGHAMPIRI KEPADA PENZINAAN?

Ya, kalau lelaki dan perempuan bertemu tentu perasaan turut terusik. Kemudian perasaan dilayan. Kemudian teringat, rindu. Kemudian diatur pertemuan. Kemudian duduk berdua-dua. Kemudian mencari tempat sunyi sedikit. Kemudian berbual panjang sehingga malam gelap. Hubungan makin akrab, dah berani pegang tangan, duduk makin dekat. Kalau tadi macam kawan, sekarang macam pengantin baru semalam bukankah mereka semakin hampir dengan penzinaan? Berapa ramai orang yang bercinta telah sampai kepada daerah penzinaan dan kesengsaraan. Kasihanilah diri dan ibu bapa yang melahirkan kita dalam keadaan putih bersih tanpa noda daripada seekor nyamuk sekalipun!

MASIH RAMAI ORANG YANG BERCINTA TETAPI TETAP SELAMAT TIDAK SAMPAI BERZINA. KAMI TAHAN DIUJI.

Allah yang menciptakan manusia, Dia tahu kekuatan dan kelemahan manusia. Manusia tidak tahan ujian. Oleh itu Allah memerintahkan supaya jauhi perkara yang ditegah takut manusia akan kecundang.

JADI MANUSIA ITU TIDAK TAHAN DIUJI?

Kita manusia dari keturunan Adam dan Hawa, sejak dari awal penciptaan manusia. Allah takdirkan satu peristiwauntuk iktibar manusia.Allah tegah Adam dan Hawa supaya tidak memakan buah khuldi dalam syurga. Buah yanglain boleh makan. Allah tahu kelemahan pada ciptaan manusia.

Tidak tahan diuji. Oleh itu Allah berpesan kepadaAdam dan Hawa, jangan menghampiri pokok khuldi itu. Firman Allah: Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu di dalam syurga serta makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa yang kamu sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini. (jika kamu menghampirinya) maka kamu adalah orang-orang yang zalim (al-Araf:19) Tegahan yang sebenarnya adalah memakan buah khuldi. Jika menghampiri perkara tegahan, takut nanti mereka akan memakannya. Demikianlah dengan zina. Ditegah berzina. Maka jalan ke arah penzinaan juga dilarang. Takut apabila berhadapan dengan godaan zina, kedua-duanya akan kecundang.Cukuplah kita belajar daripada pengalaman nenek moyang kita Adam dan Hawa.

TETAPI CINTA SELEPAS KAHWIN BANYAK MASALAH. KITA TAK KENAL PASANGAN KITA SECARA DEKAT. BERCINTA ADALAH UNTUK MENGENAL HATI BUDI PASANGAN SEBELUM BUAT KEPUTUSAN KAHWIN.

Bolehkah percaya dengan perwatakan masa sedang bercinta? Bercinta penuh dengan lakonan yang dibuat-buat dan kepura-puraan. Masing- masing akan berlakon dengan watak terbaik. Penyayang, penyabar, pemurah dan berbagai-bagai lagi. Masa bercinta merajuk ada yang pujuk. Jangan harap lepas kahwin, bila merajuk akan ada yang pujuk. Banyak orang yang kecewa dan tertipu dengan keperibadian pasangan semasa bercinta. Perangai pasangan jauh berbeza. Macam langit dan bumi. Masa bercinta, dia seorang yang amat penyayang, penyabar, sabar tunggu pasangan terlambat sampai berjam-jam.

Tapi bila dah kahwin, lewat lima minit, dah kena tengking. Jadi, perwatakan dalam masa bercinta tidak boleh dipercayai. Percintaan adalah suatu kepuraan atau hipokrit. Kalau mahu mengetahui peribadi pasangan, itulah sebabnya Islam ada membuat pertunangan. Tetapi pertunangan juga ada batasan yang sama seperti sebelum kahwin.

Syarat-syarat semasa dalam pertunangan juga sama ketika sebelum berkahwin. Hanya perkahwinan sahaja yang menghalalkan perkara-perkara yang haram antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim. Jika mahu mengenali hati budi pasangan, adalah dicadangkan supaya pasangan tunang itu bertemu sahaja di rumah pasangan masing-masing bersama-sama dengan keluarga masing-masing. Bukankah itu lebih baik? Keluarga dari kedua-dua belah pihak boleh mengenali sesama sendiri dengan lebih dekat lagi.

PERCAYALAH, KAMI BERCINTA DEMI MERANCANG KEBAHAGIAAN HIDUP NANTI.

Bagaimana diharap kebahagiaan jika tidak mendapat redha Allah? Kebahagiaan adalah anugerah Allah kepada hamba-hambaNya yang terpilih. Kebahagiaan bukan ciptaan manusia. Manusia hanya merancang kebahagiaan. Allah yang menganugerahkannya. Bagaimana mendapat anugerah kebahagiaan itu, jika jalan mencapai kebahagiaan itu tidak diredhai Allah. Kebahagiaan hidup berumah tangga mestilah melalui proses yang betul. Sudah tentu prosesnya bukan bercinta begini, Allah tidak meredhai percintaan ini. Cinta yang diredhai Allah adalah cinta selepas kahwin. Bagaimana untuk mendapat keluarga yang bahagia jika langkah mula sudahpun canggung, bagaimana kesudahannya?

TANYA SIKIT, ADIK ANGKAT, KAKAK ANGKAT, ABANG ANGKAT BOLEH KE?

Semua itu adalah perangkap iblis dan syaitan. Hakikatnya adalah sama. Cinta yang diberi nafas baru. Kulitnya nampak berlainan, tetapi isinya adalah sama. Adik angkat, kakak angkat, abang angkat adalah suatu bentuk tipu daya iblis dan syaitan. Manusia yang terlibat dengan budaya angkat ini sebenarnya telah masuk dalam perangkap syaitan. Cuma menunggu masa untuk dikorbankan. Namakan apa nama sekalipun, abang angkat ke, motivator ke, semuanya adalah sama. Jalan akhirnya akan bertemu dengan zina.

JADI SEOLAH-OLAH ORANG YANG BERCINTA TELAH HILANG MARUAH DIRI?

Mengukur maruah diri bukan ditentukan oleh manusia tetapi oleh Pencipta manusia.Orang yang sedang mabuk bercinta akan mengatakan orang yang bercinta tidak menjejaskan maruah dirinya. Manakala, bagi orang yang menjaga diri, tidak mahu terlibat dengan cinta sebelum kahwin, akan mengatakan orang yang bercinta sudah tidak bermaruah lagi. Cintanya ditumpahkan kepada orang yang belum layak menerima cinta suci. Kalau begitu ukuran bermaruah atau tidak adalah ditentukan oleh Allah.

ADAKAH ORANG YANG BERCINTA HILANG MARUAH?

Antara kemulian manusia adalah maruah dirinya. Orang yang bercinta seolah-olah cuba menggadaikan maruahnya kerana mereka menghampiri perzinaan. Manakala orang yang bercinta dan pernah berzina tidak layak berkahwin kecuali dengan orang yang pernah berzina.

Allah berfirman: Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik; dan perempuan yang berzina itu pula tidak ingin berkahwin dengan melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik. Dan perkahwinan yang demikian itu terlarang kepada orang-orang yang beriman. (Surah An-Nur: 3)

Jadi, orang yang pernah bercinta juga tidak sesuai untuk berkahwin dengan orang yang tidak pernah bercinta. Tidakkah itu suatu penghinaan dari Tuhan.


JADI ORANG YANG BERCINTA HANYA LAYAK BERKAHWIN DENGAN ORANG YANG PERNAH BERCINTA JUGA?

Itulah pasangan yang layak untuk dirinya. Kerana wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik. Lelaki yang baik untuk wanita yang baik.

KAMI TELAH BERJANJI SEHIDUP SEMATI

Apa ada pada janji cinta? Berapa banyak sudah janji cinta yang musnah? Lelaki, jangan diharap pada janji lelaki. Mereka hanya menunggu peluang keemasan sahaja. Habis madu, sepah dibuang. Pepatah itu diungkap kerana ia sering berulang sehingga menjadi pepatah.

SI DIA INI LAIN DARI YANG LAIN. DIA LELAKI YANG PENYAYANG DAN BERTANGGUNGJAWAB.

Tahukah hati budi lelaki? Sejahat mana lelaki, apabila ingin mengambil seseorang wanita sebagai isteri dan seterusnya menjadi ibu untuk anak- anaknya, dia akan memilih wanita yang baik. Tetapi untuk berseronok dan berfoya-foya, lelaki biasanya akan memilih perempuan murahan kerana ia suatu pelaburan yang menguntungkan. Itulah rahsia lelaki.

JADI, PEREMPUAN YANG BERCINTA, JATUH MARUAHNYA PADA PANDANGAN LELAKI? (tidak mengikut syariat)

Tentu. Mana ada orang lelaki yang normal suka pada barang yang second hand sedangkan barang yang baru masih ada. Sesetengah mereka menggambarkan perempuan seperti kereta yang diletakkan di bilik pameran sahaja.Tapi ada orang yang boleh test drive. Ada pula yang kata; sekadar sepinggan mee goreng dan segelas sirap bandung, bawalah ke hulu, ke hilir. Sedihkan. Itulah hakikatnya.

MASIH ADAKAH ORANG YANG TIDAK BERCINTA DI ZAMAN INI?

Ya, masih ada orang suci dalam debu. Golongan ini akan sentiasa ada walaupun jumlah mereka kecil. Mereka akan bertemu suatu hari nanti. Mereka ada pasangannya. Firman Allah: Dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya (yang memelihara dirinya dari melakukan zina)... Allah telah menyediakan bagi mereka segala keampunan dan pahala yang besar. (Surah Al-Ahzab: 35)

BAGAIMANA KAMI?


Kamu masih ada peluang. Bertaubatlah dengan taubat nasuha. Berdoalah serta mohon keampunan dariNya. Mohonlah petunjuk dan kekuatan untuk mendapat redhaNya.

KAMI INGIN MENDAPAT REDHA TUHAN. TUNJUKKANLAH BAGAIMANA TAUBAT NASUHA.


Taubat yang murni. Taubat yang sebenar- benarnya. Taubat yang memenuhi tiga syarat: Tinggalkan perbuatan maksiat. Putuskan hubungan cinta yang tidak diredhai Allah ini. Menyesal. Menginsafi diri diatas tindak tanduk hidup yang menjurus diri dalam percintaan. Berazam. Bertekad didalam hati tidak akan bercinta lagi dengan sesiapa kecuali dengan seseorang yang bernama isteri atau suami .Saatnya adalah selepas ijab kabul. Ingatlah semakin bebas pergaulan sebelum berkahwin, semakin hambar &kurang rasa cinta setelah menjadi suami isteri. Ya Allah. Hambamu ini telah tersesat jalan.

Ampunilah dosa-dosa hambamu ini. Sesungguhnya engkau Maha Pengampun dan penerima taubat . Berilah kekuatan kepadaku untuk menghadapi godaan keremajaan ini. Anugerahkan kepadaku perasaan benci kepada maksiat. Hiasilah diriku dengan akhlak yang mulia. Ibu dan ayah, anakmu berdosa . Engkau jaga diriku sedari kecil dengan kasih sayang. Mengapaku curahkan kasih itu kepada orang lain. Oh Tuhan, hambamu ini berdosa. Amin , yarabbal alamin. Moga Allah terima taubatmu.

-Copied Via Wan Juggernaut-

Thursday, February 3, 2011

Permata


Suatu pagi, Ummu Kalsum bermain seorang diri. Abangnya, Hasan dan Husin sudah keluar, tidak diketahuinya ke mana mereka pergi. Ayahnya, Ali bin Abi Talib pula sudah keluar sejak awal pagi lagi bagi mencari nafkah. Ibunya, Fatimah az-Zahra sudah lama meninggal dunia. Tinggallah Ummu Kalsum bersendirian, menunggu kepulangan ayah dan abang-abangnya.

"Wahai Ummu Kalsum, ke mana kedua abangmu?" Ali yang baru pulang bersuara apabila melihat Ummu Kalsum saja di rumah.

"Saya tidak tahu, ayah. Barangkali, abang-abang pergi rumah mak cik Asma' bermain dengan Muhammad, Aun dan Abdullah," jawab Ummu Kalsum dengan fasih.

"Mengapa kamu tidak pergi ke sana bersama mereka? Tentu kamu sunyi tinggal di rumah," kata Ali lagi.

"Tidak mahulah, ayah. Mereka semua lelaki, saya perempuan," jawab Ummu Kalsum.

Ali tersenyum mendengar jawapan puteri kesayangannya itu. Nampaknya, Ummu Kalsum semakin matang sekarang kerana sudah ada sifat malu dalam dirinya pada kaum lelaki.

Ali teringat pada sahabatnya, Umar bin Khattab. Beberapa hari lalu, Umar datang bertemunya. Kata-kata Umar kembali terngiang-ngiang di telinganya.

"Wahai Ali, nikahkanlah daku dengan puterimu Ummu Kalsum".

Ali sedikit terkejut mendengar kata-kata sahabatnya itu. Ummu Kalsum masih kecil dan belum masanya bagi dinikahkan. Lagi pula, Ali bercadang hendak menikahkah Ummu Kalsum dengan anak saudaranya, iaitu anak kepada Jaafar bin Abi Talib.

"Sebenarnya aku hendak menikahkan Ummu Kalsum dengan anak-anak Jaafar," kata Ali berterus terang.

Namun, Umar terus mendesak. "Wahai Ali, nikahkanlah aku dengan Ummu Kalsum. Aku yakin, tidak ada orang lain yang besar harapannya supaya dapat hidup bersama Ummu Kalsum melebihi harapanku," kata Umar.

Ali masuk ke biliknya, lalu mengambil sehelai kain. Kemudian, dia keluar semula mendapatkan Ummu Kalsum.

"Ummu Kalsum, mari ke sini sebentar," Ali memanggil Ummu Kalsum yang masih leka bermain.

Ummu Kalsum meletakkan permainannya lalu menghampiri ayahnya.

"Pergilah berjumpa Amirul Mukminin dan sampaikan salam ayah kepadanya," kata Ali, sambil menyerahkan lembaran kain yang dilipatnya kepada Ummu Kalsum.

"Bagi kain ini, ayah?" Tanya Ummu Kalsum.

"Tunjukkan kain ini kepadanya. Suruhlah dia ambil kain ini jika dia suka, dan jika tidak suka, suruhlah dia kembalikan," terang Ali.

"Baiklah ayah. Saya pergi sekarang," kata Ummu Kalsum, lalu berjalan perlahan-lahan menuju ke rumah Umar.

Umar tersenyum apabila melihat kedatangan Ummu Kalsum. Ummu Kalsum segera menyampaikan salam ayahnya, dan menyerahkan kain itu kepada Umar.

"Aku suka. Semoga Allah memberkatimu dan ayahmu," kata Umar ringkas.

Ummu Kalsum segera pulang ke rumahnya, lalu mendapatkan ayahnya yang sedang menunggu kepulangannya.

"Ayah, Amirul Mukminin tidak melihat pun kain yang kubawa ini, sebaliknya hanya memandangku saja," ujar Ummu Kalsum.

Ali tersenyum mendengar kata-kata Ummu Kalsum. Ali pun memberitahu puterinya itu bahawa, dia akan dinikahkan dengan Umar tidak lama lagi.

Sesudah berkahwin dengan Umar, Ummu Kalsum dengan cepat dapat menyesuaikan dirinya dengan kehidupan baru sebagai isteri Amirul Mukminin. Namun, ia bukanlah kehidupan mewah di istana yang besar, memakai perhiasan yang mahal, pakaian yang bagus dan dilayan oleh dayang-dayang.

Sebaliknya, dia hidup dalam keadaan yang sederhana dan serba kekurangan. Ini kerana, Umar memilih hidup yang sederhana seperti yang dilalui oleh Rasulullah dan khalifah Abu Bakar bin Siddiq.

Suatu malam, Ummu Kalsum bersiap-siap mahu tidur. Hari sudah lewat malam, namun, Umar masih belum pulang. Belum sempat Ummu Kalsum melelapkan mata, dia mendengar suara Umar di pintu.

"Assalamualaikum!" Umar memberi salam sambil mengetuk pintu. Ummu Kalsum bangun membuka pintu. Umar segera masuk ke dalam rumah.

"Apa yang berlaku, wahai Amirul Mukminin? Aku lihat seperti ada sesuatu yang menyusahkan dirimu," ujar Ummu Kalsum.

"Benar. Sekarang aku ingin bertanya, mahukah kau menerima pahala yang Allah datangkan kepadamu malam ini?" Tanya Umar.

"Sudah tentu! Tetapi apakah perkaranya?"" Tanya Ummu Kalsum.

"Ada perempuan asing di pinggir kota ini hendak melahirkan anak. Tidak ada sesiapa pun yang membantunya".

"Jadi kau mahu aku membantunya? Baiklah, akan aku lakukan," kata Ummu Kalsum.

"Bawalah segala benda yang diperlukan olehnya," kata Umar. Dia sendiri terus menuju ke dapur lalu mengambil periuk, mentega, tepung dan biji-bijian.

Selepas semuanya siap, mereka berdua berangkat ke pinggir kota Madinah. Ummu Kalsum membawa barang-barang keperluan wanita itu dan bayinya, manakala Umar memikul periuk dan bahan-bahan masakan bagi membuat roti.

Selepas beberapa lama berjalan, mereka tiba di sebuah khemah. Dari jauh, Ummu Kalsum dapat mendengar suara wanita yang sedang menahan kesakitan hendak melahirkan. Ummu Kalsum segera masuk ke dalam khemah bagi membantu wanita tersebut.

Umar pula menyalakan api bagi memasak makanan. Dia meminta suami wanita itu menolongnya. Umar sendiri yang mengadun tepung dan memasaknya sehingga menjadi roti.

Tidak lama sesudah itu, bergemalah suara tangisan bayi memecah kesunyian malam. Ummu Kalsum segera keluar dari khemah dan mendapatkan Umar.

"Wahai Amirul Mukminin, berilah khabar gembira kepada temanmu bahawa dia mendapat bayi lelaki," kata Ummu Kalsum kepada Umar.

Lelaki bersama Umar itu terkejut mendengar kata-kata Ummu Kalsum. Barulah lelaki itu sedar, yang menolongnya sekarang adalah Amirul Mukminin Umar bin Khattab bersama isterinya Ummu Kalsum.

Malam itu, Ummu Kalsum pulang ke rumahnya dengan rasa puas, kerana dapat menolong orang yang memerlukan bantuan. Demikianlah sikap suka menolong yang ada dalam diri Ummu Kalsum.

Ummu Kalsum menjadi janda selepas Umar bin Khattab meninggal dunia kerana dibunuh oleh Abu Lu'lu'ah ketika beliau sedang menjadi imam solat Subuh di masjid. Sesudah itu, Ali menikahkan Ummu Kalsum dengan saudaranya Aun bin Jaafar. Selepas Aun meninggal dunia, Ummu Kalsum berkahwin pula dengan Muhammad bin Jaafar dan akhir sekali dengan Abdullah bin Jaafar.

Ummu Kalsum meninggal dunia ketika menjadi isteri Abdullah. Dia meninggal dunia saat melihat kematian puteranya, Zaid bin Umar.