Friday, October 30, 2009

Aduhai Cahaya Mata Ku [Part 1]


Selang beberapa hari saja, Ramadhan kian berakhir memberi suatu lagi sinar pengampunan bagi umat Islam yang taat dalam menuruti segala perintah Illahi. Terbayang suasana riang dan bahagia dalam menyambut Aidilfitri yang mulia disamping keluarga yang tercinta. Senyum tawa riang sanak saudara,sahabat handai serta anak cucu menambahkan lagi kerinduan yang makin membuak menyeksa setiap helaan nafasku ini.

Sudah hampir 3 tahun diriku bertemankan teman-teman yang senasib dengan diriku ini, yang terpenjara dalam usia tua di sebuah rumah kebajikan orang-orang tua di ibu kota. Selalu ku bertanya "Mungkin telah menjadi kebiasaan bagi zaman ini untuk anak-anak menghantar ibu bapa mereka ke rumah orang-orang tua yang tumbuh bak cendawan selepas hujan". Namun ku masih berprasangka baik mungkin anak-anak ku yang dahulunya ku tatang bagaikan minyak yang penuh sibuk mengejar kebahagiaan dunia untuk keluarga masing-masing. Kehadiranku ini hanya akan membebankan urusan harian mereka dek kerana keuzuran yang melanda diriku ini. Pantas ku tepis pemikiran yang derita itu sejauh mungkin kerana ku masih percaya anak-anak ku masih menyayangiku.

Acap kali usai solat, ku mohon secebis ehsan dari Yang Maha Esa agar dapat bersama anak cucu untuk menyambut Aidilfitri yang bakal menjelma. Dalam doa itu hanya beriringan air mata sebagai pengubat hati yang kian seksa kerinduan terhadap keluarga. Terkenang diriku memerah keringat menjahit baju raya untuk setiap anak-anakku dengan harapan mereka dapat mengukir senyuman di pagi Aidilfitri yang indah itu. Biar diriku hanya berpakaian biasa namun kebahagiaan anak-anak diutamakan. Oh betapa indahnya kenangan tersebut jika diimbau kembali.

Hati makin berbunga tatkala menerima kiriman pesanan ringkas menyatakan anak-anak yang dikasihi akan hadir menemuiku pada petang ini. Pantas ku menyiapkan semuanya sebagai persiapan menyambut Aidilfitri bersama mereka. Semua pakaian dan kelengkapan telah ku masukkan ke dalam beg coklat usang dan ku letakkan di penjuru katil. Masa yang terluang ku isikan dengan bertemu rakan-rakan setia untuk memohon ampun maaf atas segala kekhilafan lalu.

Terasa semilir bertiup lembut menerobosi liang-liang romaku. Kicauan burung tenang mengalun zikir kepada Yang Maha Berkuasa. Oh betapa indahnya petang ini. Sebentar lagi akan tiba wajah-wajah yang ku sayangi sejak sebelum lahir lagi mereka. Belum lagi lekang zikir dan doaku supaya mereka selamat sampai ke sini menemuiku. Semoga Allah S.W.T mempermudahkan perjalanan mereka ke sini.

[Bersambung]


-Kasyah49-
-Biarlah Ia Pergi-

Ubat Hati



Tenanglah hati!

Sabarlah jiwa!!

Diamlah nafsu!!!

Tinggilah iman!!!!


-kasyah49-
-RockersSelamanya-

Wednesday, October 28, 2009

angau kembali tiba!


Kasar terasa gurauan perasaan malam ini
Bersendirian di ruang kosong tiada penyeri
Hanya cahaya kejora menemani diri
Seperti memahami sepi hati ini

Terbayang indah tawa senyumanmu
Mengukir seribu rindu
Buat pemilik senyum itu
Terima kasih ikhlas dariku

Mahu saja ku mengungkai segalanya
Namun di hati ini tiada daya
Masih terbuku impian seribu rahsia
Tetap akanku simpan hingga hujung masa



-aduh!penyakit angau kembali tiba!!syuh!syuuuh!!jauh dari diriku yang rockers ini!!!-


-kasyah49-
-RockersSungaiPetani-

Wednesday, October 21, 2009

Sekadar Berkongsi

Assalamualaikum


"Takut kepada makhluk dan takut kepada Allah S.W.T adalah dua perkara yang berbeza. Sebagai contoh jika kita takut kepada singa, kita akan berusaha menjauhi singa tersebut namun jika kita takut kepada Allah S.W.T, kita akan berusaha mendekatkan diri kepada-Nya."


"Berdoalah kepada-Ku, Nescaya akan Ku perkenankannya kepadamu"


-kasyah49-
-RsSejatiSungaiPetani-

Thursday, October 15, 2009

Keindahan Alam Ciptaan Illahi

Dengan nama Allah Yang Maha Berkuasa lagi Maha Mengasihi makhlukNya.

Keindahan alam ciptaan Illahi yang memang tidak dapat disangkal oleh akal nakli insan yang naif. Keindahan tersebut diciptakan oleh Allah S.W.T adalah untuk menunjukkan kekuasaanNya kepada makhlukNya supaya kita semua dapat memperolehi ketakwaan dan pengabdian yang hakiki kepadaNya.

Salah satu daripada keindahan alam yang dijadikan oleh Allah S.W.T ialah Tasik Fayoum di Mesir. Mungkin kita menyangkakan semua tasik adalah berair tawar, namun begitu air masin telah menguasai tasik Fayoum ini dan ini membuktikan kekuasaan Allah yang mampu mewujudkan tasik air masin di tengah daratan yang kering kontang.

Tasik Fayoum ataupun lebih dikenali sebagai Tasik Qarun oleh masyarakat Malaysia adalah simbolik terhadap kejadian yang menimpa Qarun pada zaman Nabi Musa. Qarun mempunyai kekayaan yang melimpah-ruah berkat doa Nabi Musa A.S padanya. Namun begitu, Qarun bersikap sombong dan bongkak dengan mengatakan bahawa semua kekayaannya adalah hasil daripada titik peluhnya dan bukannya datang daripada Allah S.W.T. Menurut riwayat, anak kunci kepada peti besi Qarun dipikul oleh 50 ekor keldai dan memerlukan seramai 10 orang lelaki untuk membukanya. Bayangkan betapa mewah kehidupan Qarun ketika itu. Tetapi akibat sikap buruknya, Allah S.W.T telah memerintahkan Bumi menelan Qarun dan semua hasil kekayaannya ke dalam tanah sebagai pengajaran kepada semua manusia. Dikatakan di Tasik Fayoum inilah lokasi tenggelamnya seorang insan yang tidak mahu bersyukur kepada Allah S.W.T.

Marilah bersama kita mengambil iktibar dalam kejadian ini supaya tidak berulang kembali kepada diri kita sendiri. Sesungguhnya selagi kita bernafas, pintu taubat masih terus terbuka dan janganlah kita terus menunggu sehingga nafas terakhir kita yang tiada tandanya.

syukran jazzilan...=)

-kasyah49-
-Sungai Petani-

Saturday, October 3, 2009

Butir-Butir Cintaku





Wahai pemilik nyawaku
Betapa lemah diriku ini
Berat ujian dari-Mu
Ku pasrahkan semua pada-Mu

Tuhan baru ku sadar
Indah nikmat sehat itu
Tak pandai aku bersyukur
Kini ku harapkan cinta-Mu

Kata-kata cinta terucap indah
Mengalun berzikir di kidung doaku
Sakit yang ku rasa biar jadi penawar dosaku
Butir-butir cinta air mataku
Teringat semua yang Kau beri untukku
Ampuni khilaf dan salah selama ini
Ya Illahi muhasabah cintaku

Tuhan kuatkan aku
Lindungiku dari putus asa
Jika ku harus mati
Pertemukan aku dengan-Mu

-Muhasabah Cinta-

Thursday, October 1, 2009

Untukmu Gaza

Assalamualaikum dan Salam Imtihan serta Salam Aidilfitri buat para rakan seperjuangan sekalian...

Seketika ini, terkenang perjuangan saudara seagama kita di Palestin yang saban hari menanggung penderitaan akibat kekejaman rejim zionis yang tidak berperikemanusiaan. Janganlah kita lupa akan sejarah hitam yang telah memalukan Dunia Islam kini.

Program memboikot produk barat yang dianjurkan oleh pelbagai pihak usah kita abaikan. Janganlah bertindak hanya seperti melepaskan batuk di tangga. Mungkin ada yang tertanya mampukah boikot ini memberi impak yang mendalam kepada rejim zionis itu? Adakah dengan seorang individu dapat menggugat kestabilan rejim zionis kini? Maka tepuklah dada dan tanyalah Iman dalam diri kita sendiri.

Sanggupkah kita melihat peluru-peluru rejim zionis menembusi leher anak-anak kecil palestin? Mampukah kita bersedih melihat bayi-bayi kecil palestin dibakar hidup-hidup? Usahlah menjadi seperti pemimpin-pemimpin Islam masa kini yang terang-terang tunduk kepada kuasa barat yang diketuai oleh Amerika Syarikat yang berlagak seperti 'POLIS DUNIA'. Mereka hanya pandai bersidang lalu mencari di mana kesilapan lalu tetapi masih buta melihat keadaan semasa yang makin membimbangkan.

Untuk apa jika hanya sekadar menghulurkan bantuan kepada pelarian Palestin jika mereka semua terus dirundung pelbagai ancaman dari rejim zionis. Masalah ini tidak akan selesai selagi rejim zionis wujud di muka bumi ini!






"Ya Allah, benarkan kami syahid di sana"