Saturday, June 27, 2009

IUFC vs MMU STAFF

Bismillah dan Assalamualaikum kepada semua pendengar Kedah FM yang masih lagi setia bersama DJ kasyah membawa perkembangan arena bola sepak tempatan mahupun luar negara. Kini jam di studio menunjukkan waktu 12.27 P.M dan selamat menjamu selera saya ucapkan kepada para pendengar yang tengah makan tengah hari di mana saja tidak kira di warung pak shuib stesen bas Sungai Petani atau pun di Restoran Sabar Menanti yang tengah bersabar menunggu pesanan yang tidak kunjung tiba. Diharapkan anda semua berada dalam suasana yang harmoni dan bebas dari wabak H1N1 yang telah berjaya menghuru-harakan tanah air kita yang tercinta ini.

Kini dibawakan rancangan "Lagi-lagi Bola" yang akan mengupas sebuah perlawanan bola sepak yang telah berlangsung di Melaka iaitu pertembungan di antara pasukan IUFC menentang pasukan Pilihan Staff MMU Melaka. Perlawanan tersebut telah berlangsung di Padang Utama MMU Melaka tepat jam 5.58 P.M kerana terpaksa menunggu para pemain staff MMU Melaka yang kehabisan kerja pada pukul 5.30 P.M.

Sepakan mula dirasmikan oleh pasukan Staff MMU Melaka yang dibarisi bintang-bintang yang veteran seperti Mr Chua dan abang Bob CITS yang pernah menggegarkan arena bola sepak MMU dengan sepakan-sepakan deras dan membawa maut kepada sesiapa yang cuba menjadi batu penghalang. Bola hanya berlegar ditengah padang pada suku pertama perlawanan kerana masing-masing ketandusan idea membuat serangan. Selain itu benteng IUFC yang ditunjangi oleh saudara Mayo sapik sedikit pun tidak memberi peluang kepada para penyerang pasukan Staff MMU untuk membuat percubaan berbahaya ke arah pintu gol IUFC sehinggakan penjaga gol IUFC terpaksa duduk mengira butiran pasir untuk menghilangkan kebosanan yang melanda. Gol pertama hadir ketika minit ke-13 dan dijaringkan oleh Mr Chua dengan rembatan yang berjaya menewaskan penjaga gol IUFC iaitu saudara Manaf. Gol tersebut terlaksana dek kerna kealpaan benteng IUFC yang dengan sopan-santunnya membuat hantaran kepada Mr Chua tanpa memikirkan akibat daripada tindakan tersebut. Gol tersebut telah sedikit memberi impak maksima kepada barisan hadapan IUFC yang masih lagi ketandusan gol. Dengan tersedarnya dari lamunan, barisan hadapan IUFC membuat gerakan-gerakan berbahaya ala-ala kamikaze demi mencari gol yang tidak kunjung tiba. Bermula dengan saudara Abu yang bertindak sebagai pertahanan sebelah kanan membuat larian "overlapping" dan membuat hantaran ke depan pintu gol namun tiada sesiapa yang berani menyambut hantaran tersebut. Selain itu, banyak juga bola hasil sepakan pemain IUFC yang singgah ke palang gol dan sekaligus menidakkan jaringan gol yang sepatutnya telah terjaring. Saudara Amiroso telah berjaya menjaringkan sehelai gol secara tidak sengaja. Insiden tersebut berlaku apabila saudara Obi Wan Kenobi membuat hantaran terus kepada saudara Amiroso dan tanpa memberi sedikit harapan kepada penjaga gol, terus melakukan rembatan padu yang tepat menuju ke arah palang gol dan terkena badan penjaga gol Staff MMU dan bola bergolek secara berirama ke dalam jaring gol tersebut.Dengan tindakan tersebut, pasukan IUFC telah berjaya dengan secara tidak sengaja membolosi pintu gol Staff MMU sebanyak 3 gol lagi untuk separuh masa pertama oleh penyerang import IUFC yang diterbangkan khas dari benua Afrika.

Setelah mendengar amanat,harapan,idea dan juga taktik daripada saudara kasyah yang bertindak sebagai pengurus pasukan, pasukan IUFC dengan gagah beraninya masuk semula ke dalam padang untuk menyelesaikan perlawanan tersebut. Separuh masa kedua dilangsungkan dengan sepak mula oleh pasukan IUFC dan melakukan serangan melalui sebelah kanan yang diterajui oleh saudara Ayie namun berjaya dihalang oleh pertahanan pihak lawan. pasukan Staff MMU bagaikan hilang punca apabila gol ke-5 IUFC hadir dan mula menukar taktik "kalo x dpt bola, kaki pun buleh" yang telah lama dipraktikkan oleh saudara kasyah dalam perlawanan sebelumnya. Ramai juga yang telah dinobatkan sebagai mangsa keadaan seperti saudara ayie, ijud, amiroso dan tidak dilupakan jua saudara mayo sapik. Taktik itu berjaya menghasilkan gol ke-2 pasukan Staff MMU yang dijaringkan oleh Abang nombor 8 yang berjaya mengaburi mata pengadil dengan mengasari penjaga gol IUFC sehingga terlepas bola dalam dakapan. Namun begitu, pasukan IUFC berjaya membalas gol tersebut dengan satu lagi jaringan cantik dari pada awang importnya. Setelah itu, perlawanan bertukar panas dengan pasukan Staff MMU melakukan perang psikologi terhadap pemain-pemain IUFC. Sedikit ketegangan berlaku antara kedua belah pasukan namun berjaya diredakan oleh pengadil perlawanan yang bertugas. Setelah itu perlawanan ditamatkan untuk mengelakkan pertumpahan darah berlaku di padang MMU yang tercinta ini. Perlawanan ini telah dimenangi oleh pasukan IUFC dengan jaringan 6 gol berbalas 2 gol oleh pasukan Staff MMU Melaka dan tiada layangan kad diterima oleh kedua belah pasukan.

Sekian sahaja dari konti Radio Kedah FM "Mesra Harmoni"....=)


Taktik IUFC Yang Diujikaji Demi Perlawanan Seterusnya

Salah Satu Aksi Awang Import IUFC Yang Memboloskan Pihak Lawan

Dengan Penuh Kecomelan Menahan Asakan Pasukan Staff MMU

Antara Bentesan Keras Yang Berlangsung Ketika Perlawanan


Kasyah
-Pengurus Pasukan IUFC Seperlawanan-

2 comments:

  1. hehe.iufc mmg gagah segagah komentatornye:P.pecah perut aku bace cerita ni.cm bole feel atas padang skali:D

    ReplyDelete
  2. syukran ya akhi...
    semoga cepat sembuh beb!:)

    ReplyDelete