Thursday, October 15, 2009

Keindahan Alam Ciptaan Illahi

Dengan nama Allah Yang Maha Berkuasa lagi Maha Mengasihi makhlukNya.

Keindahan alam ciptaan Illahi yang memang tidak dapat disangkal oleh akal nakli insan yang naif. Keindahan tersebut diciptakan oleh Allah S.W.T adalah untuk menunjukkan kekuasaanNya kepada makhlukNya supaya kita semua dapat memperolehi ketakwaan dan pengabdian yang hakiki kepadaNya.

Salah satu daripada keindahan alam yang dijadikan oleh Allah S.W.T ialah Tasik Fayoum di Mesir. Mungkin kita menyangkakan semua tasik adalah berair tawar, namun begitu air masin telah menguasai tasik Fayoum ini dan ini membuktikan kekuasaan Allah yang mampu mewujudkan tasik air masin di tengah daratan yang kering kontang.

Tasik Fayoum ataupun lebih dikenali sebagai Tasik Qarun oleh masyarakat Malaysia adalah simbolik terhadap kejadian yang menimpa Qarun pada zaman Nabi Musa. Qarun mempunyai kekayaan yang melimpah-ruah berkat doa Nabi Musa A.S padanya. Namun begitu, Qarun bersikap sombong dan bongkak dengan mengatakan bahawa semua kekayaannya adalah hasil daripada titik peluhnya dan bukannya datang daripada Allah S.W.T. Menurut riwayat, anak kunci kepada peti besi Qarun dipikul oleh 50 ekor keldai dan memerlukan seramai 10 orang lelaki untuk membukanya. Bayangkan betapa mewah kehidupan Qarun ketika itu. Tetapi akibat sikap buruknya, Allah S.W.T telah memerintahkan Bumi menelan Qarun dan semua hasil kekayaannya ke dalam tanah sebagai pengajaran kepada semua manusia. Dikatakan di Tasik Fayoum inilah lokasi tenggelamnya seorang insan yang tidak mahu bersyukur kepada Allah S.W.T.

Marilah bersama kita mengambil iktibar dalam kejadian ini supaya tidak berulang kembali kepada diri kita sendiri. Sesungguhnya selagi kita bernafas, pintu taubat masih terus terbuka dan janganlah kita terus menunggu sehingga nafas terakhir kita yang tiada tandanya.

syukran jazzilan...=)

-kasyah49-
-Sungai Petani-

No comments:

Post a Comment